Make your own free website on Tripod.com

Kisah Para Anbiya'

Kisah Nabi Ibrahim A.S.

Wahai hamba-hamba Allah!, bertaqwalah kepada Allah sebenar-benar taqwanya, dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang-orang Islam."

Saudara Muslimin dan Muslimat! Pada kesempatan ini marilah kita berusaha untuk menjadi orang Islam yang sebenar-benarnya, dengan mengambil iktibar dari Nabi Ibrahim a.s. dan keluarganya.

Menjadi orang Islam dengan makna menyerah diri kepada Allah SWT dengan penuh keyakinan kepada ketuhanan-Nya dan menyakini kebenaran segala perintah, larangan-Nya, janji dan amaran-Nya. Sebagaimana firman Allah Taala yang bermaksud:

"Tidak ada orang yang bencikan agama Nabi Ibrahim (Islam) selain dari orang yang membodohkan dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi nabi) di dunia ini dan sesungguhnya ia pada hari akhirat kelak tetap di kalangan orang-orang yang soleh. Ingatlah ketika Tuhannya berfirman kepadanya: "Berserah dirilah (kepada-Ku wahai Ibrahim)".

Nabi Ibrahim menjawab:

"Aku berserah diri (tunduk) taat kepada Tuhan Yang Maha Memelihara dan mentadbir sekalian alam". Dan Nabi Ibrahim berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya dan (demikian juga nabi) Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya:

"Wahai anak-anakku!, sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu. Maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam)." (Surah al-Baqarah: 130-132).

Islam ialah satu-satunya agama yang benar di sisi Allah, yang menjadi agama seluruh nabi-nabi alaihimus solatu wassalam, bermula daripada Nabi Adam a.s. sehinggalah nabi terakhir dan penutup, iaitu Muhammad s.a.w..

Terkandung di dalam Islam itu ajaran yang merangkumi seluruh perkara yang berkaitan dengan kewajipan manusia, keperluannya dan panduan yang benar untuk kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Hari ini kita memperingati contoh Islam dari Nabi Ibrahim a.s. yang membuktikan keIslamannya dengan tunduk dan patuh kepada perintah Allah walaupun perintah itu mengorbankan orang yang paling dikasihi di dunia.

Oleh kerana diri kita dan seluruh yang berhubung dengannya adalah milik Allah dan pemberian-Nya maka apa sahaja yang diperintah oleh Allah wajiblah kita menyerah diri kepada-Nya.

Nabi Ibrahim a.s. menunaikan perintah Allah supaya meletakkan keluarganya di bumi Makkah yang sunyi dari manusia dan kering kontang, namun kerana keyakinannya kepada Allah, keadilan dan rahmat-Nya, Nabi Ibrahim a.s. menyempurnakan perintah itu dengan penuh rela hati dan yakin.

Di tempat yang sama Allah mendedahkan contoh orang-orang yang kafir seperti Abu Jahal dan pengikut-pengikutnya yang tidak bersedia untuk menerima Islam kerana kepentingan dunia dan tidak percaya Allah dan janji-Nya.

Firman Allah Taala yang bermaksud:

"Dan mereka yang kafir berkata: "Kalau kami menyertai petunjuk yang engkau bawa itu, nescaya kami serta merta ditangkap dan diusir dari negeri kamu (oleh golongan yang menentang). Mengapa mereka berkata demikian? Bukankah Kami melindungi mereka dan menjadikan (negeri Mekah) tetap tinggal mereka sebagai tanah suci yang aman, yang dibawa kepada-Nya hasil tanaman dari segala jenis buah-buahan, sebagai rezeki pemberian dari sisi Kami?, tetapi kebanyakan mereka tidak mengerti."(Surah Al-Qashash: 57).

Di hari ini umat Islam berhimpun di Makkah untuk menunaikan ibadat haji dan berhari raya dan ada yang menyembelih korban untuk memperingati Nabi Ibrahim a.s. dan keluarganya yang menjadi orang Islam yang sebenar.

Tetapi adakah kita mengerti dan faham, di mana kedudukan kita dengan contoh Nabi Ibrahim dan keluarganya yang menunjukkan Islam secara menyerah diri menerima apa sahaja hukum Islam.

Atau bersifat seperti Abu Jahal dan pengikutnya yang tidak menerima Islam kerana takutkan kesusahan hidup di dunia ini dengan janji-janji syaitan yang sentiasa menggoda.

Kalau mengikut Islam nanti aku menerima kesusahan dan berbagai-bagai masalah lalu membelakangi sebahagian besar daripada hukum Islam walaupun bergelumang dengan segala maksiat dan kemungkaran.

Menyangka sudah cukup dengan berpura-pura melalui takbir, sembahyang dan lain-lain amalan diri masing-masing, tetapi dalam masa yang sama membenarkan maksiat seperti riba, arak, judi dan meninggalkan hukum-hukum Allah seperti qisas dan hudud kerana percayakan janji-janji syaitan itu seolah-olah lebih diyakini daripada janji Allah dan Rasul-Nya.

Allah mendedahkan perkara ini dengan firman-Nya yang bermaksud:

"Syaitan itu menjanjikan (yakni menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji. Sedangkan Allah menjanjikan kamu keampunan daripada-Nya serta kelimpahan kurnia-Nya dan ingatlah Allah Maha Luas limpah rahmat-Nya lagi sentiasa meliputi pengetahuan-Nya)." (Surah Al-Baqarah: 268).

Saudara Muslimin dan Muslimat! Di hari ini marilah kita menyedar dan menginsafi betapa Nabi Ibrahim a.s. dan keluarganya bersedia untuk mengorbankan apa sahaja kerana menunaikan perintah Allah dengan ikhlas, lalu kita menghidupkan syiarnya secara menyembelih bintang ternakan dan membahagi-bahagiakan daging-dagingnya untuk menjamu selera, kerana itulah caranya yang diajar oleh Rasulullah s.a.w.

Tetapi adalah kita hanya memilih ajaran Rasulullah ini kalau dapat makan dan minum dengan selera? Adapun untuk menghayati pengorbanan itu bagi mempertahankan Islam dan penganutnya kita menjadi bacul.

Kalau tidak maka tidak berlakulah adanya umat Islam yang boleh ditindas dan dibunuh secara sewenang-wenangnya di Palestin, Kashmir dan lain-lain dengan dibiarkan oleh sebahagian besar umat Islam yang ramai jumlahnya.

Segalanya bergantung dengan keyakinan kita kepada Allah secara Islam yang sebenar seperti Nabi Ibrahim a.s. dan keluarganya yang meletakkan agama mengatasi segala-galanya, atau kepentingan duniawi diutamakan daripada segala-galanya. Dengarlah firman Allah Taala yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman!, mengapa apabila dikatakan kepada kamu: "Pergilah beramai-ramai untuk berjuang pada jalan Allah, kamu merasa keberatan dan (suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing).

"Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan di dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak.

Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berjuang pada jalan Allah membela agama-Nya), (Allah) akan menyiksa kamu dengan azab siksa yang tidak terperi sakitnya, dan Ia akan menggantikan kamu dengan kaum lain dan kamu tidak akan dapat mendatangkan mudharat sedikitpun kepada-Nya. Dan (ingatlah) Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu)." (Surah At-Taubah: 38-39).

Saudara Muslimin dan Muslimat! Di hari ini kita memperingati Nabi Ibrahim a.s. dan keluarganya yang menjadi lambang menegakkan tauhid dan menolak segala bentuk syirik. Tauhid itu ialah mengEsakan Allah pada Ketuhanan, Zat-Nya, sifat-sifat-Nya, nama-nama-Nya dan juga hukum syariat-Nya.

Dan menolak syirik juga merangkumi perkara tersebut. Nabi Ibrahim a.s. menentang syirik dengan penuh pengorbanan kerana mengikhlaskan tauhid hanya kepada Allah. Walaupun syirik itu berhala yang ditempa oleh bapanya sendiri dan walaupun syirik itu Raja Namrud yang memerintah negeri tanah tumpah darahnya sendiri, Nabi Ibrahim a.s. menghadapi itu semua walaupun terpaksa meninggalkan ayah kesayangannya, dan dihalau dari tanah air yang dikasihi kerana tauhid wajib dipertahankan dan syirik wajib ditolak dan ditentang habis-habisan.

Maka marilah pula kita mengkaji keikhlasan kita kepada tauhid (mengEsakan) Allah pada segala-galanya dan menolak syirik dalam segala-galanya. Adakah kita memahami bahawa menegakkan tauhid dengan ikrar dua kalimah syahadah itu tidak boleh dibatalkan dengan pegangan-pegangan syirik, amalan-amalan dan tindakan-tindakannya.

Syirik itu bukan sahaja menyembah patung, berhala dan melakukan syiar ibadat kepada yang lain daripada Allah. Tetapi juga percaya dan menegakkan undang-undang ciptaan manusia dengan membelakangi syariat Islam dalam apa-apa perkara sekalipun.

Seperti menghalalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah dan mengharamkan apa yang dihalalkan oleh-Nya. Menukar hukum qisas dan hudud dan ta'azir dengan hukum-hukum yang lain yang dicipta sendiri oleh manusia tidak dengan izin Allah.

Firman Allah Taala yang bermaksud:

"Adakah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang mengada-adakan hukum syariat untuk mereka dalam perkara agama apa-apa yang tidak diizinkan oleh Allah? dan kalaulah tidak kerana kalimah ketetapan yang menjadi memutus (dari Allah untuk meneguhkan hukum-Nya masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan azab dengan serta merta kepada mereka. Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab yang tidak terperi sakitnya)." (Surah As-Syuara': 21).

Saudara Muslimin dan Muslimat! Sebenarnya punca berlaku gejala-gejala maksiat yang meruntuhkan akhlak akhir-akhir ini bermula daripada syirik meninggalkan hukum Allah dan menukarkan dengan yang lain, kerana syiriklah dosa yang paling besar dan menjadi ibu kepada maksiat yang lain. Apabila hukum Allah disekutukan dengan yang lain maka hukum Allah dipandang remeh temeh.

Hawa nafsu menjadi raja di dalam diri, benteng pencegah maksiat di dalam hati menjadi lemah, kerana hanya hukum Allah yang menjadi sebahagian daripada iman itulah yang menjadi roh kepada hukum Islam yang tidak ada pada hukum yang lain.

Di hari ini kita mengingati kesungguhan Nabi Ibrahim a.s. dan keluarganya membuktikan Islam kepada Allah dengan rela berkorban apa sahaja, dan dikorbankan kerana perintah Allah dan menyedari bahawa segala yang ada pada dirinya menjadi kepunyaan Allah. Maka dimanakah perginya kepercayaan kepada Allah bagi mereka yang teragak-agak untuk beramal dengan hukum Allah dan menegakkan syariat-Nya?

Sesungguhnya kita berada di zaman orang-orang Islam sendiri yang merungkai keyakinan mereka kepada Allah satu demi satu, bermula daripada melenyapkan pemerintahan yang mendaulatkan Islam yang telah ditegakkan oleh Rasulullah s.a.w. dengan pengorbanan dan jihad, tiba-tiba perkara pemerintahan itu hilang dari pemikiran sebahagian besar umat Islam.

Setelah itu kemungkaran dapat memasuki masyarakat Islam tanpa ditegah dengan tangan oleh tindakan hukum syariat yang telah diwajibkan oleh Allah, kita bimbang sedaif-daif iman sekadar benci di dalam hati juga akan lenyap, maka laknat Allah menimpa umat.

Marilah pada Hari Raya Haji atau Korban ini kita kembali kepada Alalh dan bersedia untuk menunaikan kewajipan agama walau apa pengorbanan sekalipun untuk melayakkan kita mendapat rahmat daripada-Nya.

Firman Allah Taala yang bermaksud:

"Orang-orang yang beriman lelaki dan orang-orang yang beriman perempuan, setengahnya menjadi penolong kepada setengah yang lain. Mereka menyuruh kepada yang baik, mereka mencegah kemungkaran, mereka mendirikan sembahyang, mereka menunaikan zakat dan mereka mentaati Allah dan Rasul-Nya. Mereka itulah orang yang akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana." (Surah At-Taubah: 71).


Wassalam.