Make your own free website on Tripod.com

Tazkirah

Akhlak Muslim

Seorang muslim akan memandang bahawa tawakkal kepada Allah dalam semua amalnya bukan sahaja sebagai kewajipan Akhlak, tapi juga sebagai satu perkara yang fardhu dan sebagai salah satu aqidah Islamiyah.

Firman Allah. "....dan kepada Allah hendaklah kamu bertawakkal jika kamu orang beriman." (Q 5:23)

Seorang Muslim yang berserah kepada Allah tidak sekali-kali memahami konsep tawakkal sebagaimana seorang jahil akan Islam memahaminya .Dan adalah berlawanan dengan aqidah kaum muslimin jika difahamkan bahawa tawakkal itu semata-mata suatu kalimah yang diucapkan oleh lisan sahaja tetapi tidak diikuti dengan hati, atau diabaikan sebab-musababnya dan meninggalkan amal, senang dan redha dengan kehinaan dan kerendahan yang dihadapinya dibawah syi'ar tawakkal kepada Allah dan ridha dengan perjalanan takdir yang berlaku.

Orang muslim memahami bahawa tawakkal itu adalah sebahagian Iman dan aqidahnya, iaitu taat kepada Allah serta melakukan setiap 'sebab' yang dituntut dalam suatu amal dan melakukannya dengan bersungguh-sungguh. Maka janganlah mengharapkan mendapat hasil kerja tanpa mengerjakan sebab-sebabnya, dan janganlah mengharapkan natijah tanpa melakukan perbuatan pendahuluannya. Namun demikian keberhasilan setiap 'sebab' dan anugerah natijah adalah semuanya dari Allah yang berkuasa diatas setiap sesuatu.

Oleh yang demikian, tawakkal mengikut pandangan orang muslim ialah amal dan cita-cita,disertai dengan ketengangan hati, ketetapan diri dan i'tiqad yang putus bahawa apa yang dikehendaki Allah nescaya akan terjadi dan apa yang tidak dikehendakiNya tidak akan terjadi. Dan Allah tidak akan mengecilkan balasan mereka yang beramal soleh.

Dalam sirah Rasulullah; semasa beliau mendapat keizinan Allah untuk berhijrah, beliau pun bersiap-sedia mengatur cara-cara beliau berhijrah :

1. Sahabatnya Abu-Bakar As-Siddiq diminta untuk menemaninya berhijrah.

2. Menyiapkan segala bekalan dan diikat oleh Asma' binti Abi Bakar (sehingga beliau digelar 'juruikat')

3. Menyiapkan kenderaan khas untuk berjalan jauh dan berat ini.

4. Membawa peta sebagai petunjuk jalan.

5. Ali b. Abi Talib tidur diatas tempat tidurnya untuk memperdaya musuh.

6. Semosa dikejar dari belakang , Rasulullah dan sahabatnya bersembunyi dalam Gua Thur agar hilang dari pandangan musuhnya.

7. Tatkala Abu Bakar berkata kepadanya: Jika salah seorang mereka melihat kebawah kakinya nescaya ia melihat kita ya Rasulullah. Bersada beliau kepada Abu Bakar," Jangan berduka sesungguhnya Allah beserta kita; apa sangakamu wahai Abu Bakar mengenai dua orang ini, Allahlah yang ketiganya!" (Al Bukhari)

Dari kisah diatas, Rasulullah jelas tidak mengabaikan 'sebab', tetapi tidak juga berpegang padanya, dan bagi orang mukmin itu hujung segala 'sebab' ialah penyerahan dihadapan Allah dan menggantungkan urusannya kepadaNya dengan penuh kepercayaan dan kesungguhan hati...

wallahualam.......