Make your own free website on Tripod.com

Tazkirah

Amanat Guru

Wahai anak... Ketahuilah pintu ilmu itu dengan belajar dan bertanya. Pintu faham itu dengan melazimkan berlapar + tahajjud + zikir. Pintu ingat itu dengan menjauhi maksiat dan bersifat wara'. Mudah- mudahan dikurniakan ke atas engkau tawfiq dan kekuatan untuk beramal dengan ilmu yang telah engkau tuntut itu.

Wahai anak... Ketahuilah sesungguhnya bersifat wara' itu ialah dengan hidup di dalam penuh ta'at dan ibadah, mengabdikan diri hanya kepada Tuhanmu jua. Dan mengawal pandangan daripada perkara- perkara haram serta yang boleh menjerumuskan dirimu ke lembah zina. Dan menjaga pendengaran daripada bunyi- bunyian yang haram, atau yang melalaikan serta yang sia- sia. Dan mengawal lidah daripada menyakiti hati orang; mengumpat, memfitnah, ghibbah, ataupun bercakap pada perkara yang sia- sia, yang tiada faedah pada agama dan hari Akhirat. Dan mengawal kaki daripada melangkah ke tempat maksiat, dan tidak berada bersama- sama dengan orang- orang yang lalai, dengan menjauhi segala majlis yang ghaflah. Dan menjaga tangan dari membuat zalim terhadap makhluk Allah Ta'ala atau mengambil hak miliknya dengan cara yang tidak sebenar. Dan menjaga perut dari dimasuki oleh benda- benda yang haram, atau dari sumber yang tidak jelas, dan juga tidak sentiasa padat dengan makanan walaupun dari yang halal. Dan menjaga farj dari perbuatan keji dan mungkar, lagi dikutuk oleh Allah Ta'ala dan sekelian makhluk-Nya. Dan membersihkan fikiran dari membuat rancangan- rancangan jahat dan maksiat terhadap sesama makhluk serta penderhakaan terhadap Allah Ta'ala dan Rasul-Nya sallallahu'alaihiwasallam. Dan sentiasalah mensucikan hati dan ruh dari karat- karat maksiat batin; riya', takabur, 'ujub, hasad, dengki, tidak redha pada taqdir, cintakan dunia, takutkan mati, serta segala sifat- sifat keji yang lain dengan memperbanyakkan Jihadulnafs dan Zikrullah.

Wahai anak... Ketahuilah, kiranya kau amat sayangkan iman yang ada di dalam hatimu itu dari dimusnahkan oleh iblis la'natuLlah serta konco- konconya, dan terpedaya dengan fitnah akhir zaman yang semakin kelam dari rahmat Tuhan, dan penuh dengan kefasadan ini, maka lazimkan olehmu menyertai mereka yang sentiasa menghidupkan halakah- halakah atau majlis Allah Ta'ala, yakni; MAJLIS ILMU dan MAJLIS ZIKIR. Demi untuk mengenali Dia, yang telah menciptakan dirimu dan seluruh penghidupan ini, serta untuk mengetahui peraturan- peraturan dalam hidup ini, seperti mana yang telah tercatat pada Kalam-Nya yang Qadim dan 'Azali. Dan demi untuk mengingati Dia yang amat banyak kurniaan nikmat-Nya kepadamu , jua mengharapkan kemesraan dan kelazatan berdamping rapat dengan-Nya, dan menatap wajah-Nya yang maha Mulia....Allahummarzuqna amin. Hanya Allah Jalla wa 'Azza jua yang memberi taufiq serta membimbing kita dengan limpahan rahmat-Nya yang maha luas. Dialah yang Maha pengampun, lagi Maha Mengasihani belas ke atas seluruh makhluknya, dan pada-Nyalah sebaik-baik tempat penyerahan diri.

Wallahul muwaffiq bifadhlih.

Wassalam.